Kedua-dua jenis teh puerh iaitu teh puerh hijau dan teh puerh merah boleh di simpan untuk tempoh masa yang panjang, malah lebih lama teh puerh disimpan, lebih tinggi nilai kualiti teh tersebut. Kaedah penyimpanan terbaik teh puerh ialah di dalam bekas tanah liat, samada untuk jangka waktu simpanan yang panjang, atau untuk diminum. Ini kerana bekas tanah liat membenarkan ‘pernafasan’ dan memberi keseimbangan kepada suhu (mengurangkan turun naik suhu).
Bekas tanah liat yang terbaik dan terkenal adalah yang diperbuat dari tanah liat Yixing seperti teko teh Yixing. Jika bekas tanah liat sukar diperolehi, teh puerh juga boleh di simpan di didalam kotak kadbod atau sebarang beg kertas asalkan bebas dari sebarang unsur-unsur kimia untuk menjamin kualiti teh puerh.
Lokasi terbaik untuk penyimpanan teh puerh ialah di tempat yang kering dan dingin, bebas bau serta jauh dari kawasan yang suhu tidak seimbang seperti di dapur. Ini kerana teh akan menyerap bau dan ini akan menjejaskan rasa asli teh puerh.
Untuk menyimpan teh puerh untuk jangka waktu yang panjang, cukup sekadar biarkan teh tersebut di dalam bungkusan yang asal, manakala teh untuk diminum, pecahkan teh menjadi kepingan-kepingan kecil menggunakan pisau tumpul khas. Setelah teh dipecahkan menjadi kepingan-kepingan kecil, permukaan teh akan lebih terdedah kepada udara yang seterusnya akan menyebabkan berlakunya proses pengoksidaan. Proses pengoksidaan yang berterusan boleh menyebabkan kualiti teh puerh menurun kerana rasa, warna dan bau asal teh puerh terganggu. Keadaan ini dipanggil wake up tea. Jika anda tidak bercadang untuk minum setelah membeli teh puerh, menyimpannya dalam keadaan asal tanpa dipecahkan adalah cara terbaik.







0 comments:
Post a Comment